PUTRAJAYA – Komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkasa agenda antirasuah diterjemahkan melalui pembangunan Integrity and Misconduct Complaints System (IMaCS) serta modul Pengurusan Penerimaan Hadiah yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Unit Integriti, Kementerian Ekonomi ke Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Pertemuan strategik ini memberi peluang kepada delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai oleh Ketua Unit Integriti Kementerian Ekonomi, Datin Zuridah Mamat untuk mendapatkan khidmat nasihat perkongsian amalan terbaik SPRM berkaitan mekanisme pengurusan aduan, pengisytiharan dan penerimaan hadiah, aspek teknikal pembangunan sistem, tadbir urus serta kaedah pelaksanaannya di SPRM.
Dalam pada itu, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM), SPRM turut memberikan penerangan mengenai aspek teknikal pembangunan IMaCS serta modul Pengurusan Penerimaan Hadiah yang diintegrasikan dalam sistem e-Diary SPRM.
Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa berkata, SPRM optimis input perbincangan sedikit sebanyak dapat membantu Kementerian Ekonomi dalam membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Pengurusan Hadiah yang lebih sistematik, berkesan dan berintegriti.
“Inisiatif ini juga menzahirkan komitmen SPRM dalam menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) melalui pemerkasaan pendigitalan, tadbir urus yang baik dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berimpak,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian BPRM SPRM, Mohamad Sha Dawang; Ketua Cawangan Pematuhan, Keurusetiaan dan Pentadbiran BCP SPRM, Haiyu Syahida Zakaria; Ketua Penolong Pengarah Unit Integriti Kementerian Ekonomi, Naglaa Ismail; Pegawai Siasatan Unit Integriti Kementerian Ekonomi, Nor Rafidah Lokman dan pegawai-pegawai Unit Integriti dan Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Ekonomi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSANSPRM
