PUTRAJAYA – Malaysia secara rasmi melancarkan logo, maskot dan tema rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Malaysia 2027 sebagai tanda bermulanya persiapan negara menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Pelancaran identiti rasmi Malaysia 2027 berlangsung di IOI City Mall di sini semalam dan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Presiden Persekutuan Sukan SEA, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, wakil empat kluster tuan rumah serta pegawai kanan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).
Sukan SEA Ke-34 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 membabitkan empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Antara tarikan utama yang diperkenalkan ialah maskot rasmi dikenali sebagai ‘TUAH’, yang diinspirasikan daripada imej wira moden yang berani, yakin dan mesra.
Maskot itu melambangkan semangat berani, positif dan daya saing generasi baharu Malaysia, selain meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan utama negara.
‘TUAH’ akan diperkenalkan dalam dua versi bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, sekali gus membawa nilai keterangkuman, ketahanan, kecemerlangan serta potensi insan.
Malaysia 2027 turut memperkenalkan tema rasmi ‘Raikan Perpaduan’ (Celebrating Unity) yang menggambarkan perpaduan sebagai kekuatan utama Malaysia dan rantau Asia Tenggara, dengan sukan menjadi platform menyatukan rakyat serta negara-negara serantau.
Logo rasmi Malaysia 2027 pula menggabungkan enam elemen utama yang membawa maksud tersendiri.
Huruf ‘M’ melambangkan Malaysia sebagai negara tuan rumah yang progresif, manakala siluet atlet yang sedang bergerak mencerminkan kecemerlangan serta keazaman dalam sukan.
Angka ’27’ mewakili tahun penganjuran 2027, sementara Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan melambangkan perpaduan, keharmonian dan identiti negara.
Warna-warna yang diinspirasikan daripada Jalur Gemilang menggambarkan semangat patriotisme, manakala motif 11 cincin melambangkan 11 negara Asia Tenggara yang disatukan menerusi persahabatan, solidariti dan semangat kesukanan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – OCM
