PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menganggap insiden tragis seorang pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah di Selangor hari ini sebagai tamparan hebat kepada usaha memastikan sekolah kekal sebagai tempat paling selamat buat pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata kejadian itu amat serius dan satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan dari semua sudut secara telus, tuntas dan adil.
“Insiden ini bukan kes terpencil. Ia adalah tamparan tegas kepada kami untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan mental pelajar di sekolah,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta memberi jaminan bahawa KPM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada mereka dalam menghadapi detik sukar ini.
Menurut Dr. Mohd Azam, KPM kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperketat kawalan keselamatan di sekolah termasuk memperkukuh pemantauan dan pelaksanaan langkah pencegahan tambahan.
“Kawalan di kawasan sekolah akan dipertingkat bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar selamat untuk pelajar,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pentadbir sekolah terlibat telah dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai dijalankan.
Selain itu, pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling turut digerakkan bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
“KPM berikrar untuk menggandakan usaha memperbaiki kelemahan sedia ada supaya sekolah benar-benar menjadi kawasan selamat untuk anak-anak kita,” katanya lagi.
Dr. Mohd Azam turut menyeru agar semua pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa berganding bahu menjamin keselamatan pelajar.
“Keselamatan pelajar tanggungjawab kita bersama. Setiap sekolah mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak belajar dan membesar,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun susulan kejadian yang mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di dalam kawasan sekolah dan disifatkan sebagai tragedi menyedihkan.
“Pelajar lelaki menikam pelajar perempuan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Motif masih dalam siasatan dan kenyataan lanjut akan dikeluarkan Ketua Polis Selangor,” katanya.
Difahamkan, suspek turut membawa senjata tajam dan sempat mencederakan beberapa pelajar lain sebelum berjaya ditahan polis tidak lama kemudian. - DETIK MALAYSIA