KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa konflik berpanjangan antara Israel dan Palestin berpunca daripada penindasan, perampasan tanah serta tindakan ganas rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan di Facebook Tun Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus melabel Hamas sebagai organisasi pengganas yang perlu dibubarkan dan dilucutkan senjata kononnya demi keselamatan Israel.
“Seolah-olah Hamas ditubuhkan hanya untuk menakut-nakutkan Israel tanpa sebab. Hakikatnya, tanah Palestin dirampas untuk membentuk negara Israel. Itu satu kezaliman besar terhadap rakyat Palestin yang secara semula jadi mahu mendapatkan semula tanah mereka,” katanya.
Menurut beliau, segala usaha Palestin untuk menuntut kembali hak mereka digagalkan kuasa besar Barat termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.
Beliau mengimbas kembali perjanjian damai yang pernah dipersetujui antara Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat untuk menubuhkan dua negara, namun Rabin akhirnya dibunuh oleh rakyatnya sendiri kerana Israel sebenarnya tidak mahu Palestin wujud.
“Selepas kegagalan Arafat, rakyat Palestin menubuhkan Hamas yang berjaya menguasai Gaza. Namun, Israel terus merampas tanah Palestin, membina penempatan haram, menindas serta membunuh rakyat Palestin selain menahan ribuan orang tanpa perbicaraan,” jelasnya.
Beliau menambah, tindakan Hamas menawan kira-kira 200 rakyat Israel dalam serangan pada 2023 adalah sebagai usaha menukar tahanan Palestin yang tidak pernah dibebaskan melalui saluran undang-undang.
Namun begitu, Netanyahu bertindak melancarkan perang yang disifatkan Dr. Mahathir sebagai “genosid” apabila lebih 70,000 rakyat Gaza terkorban manakala lebih 100,000 lagi cedera.
“Netanyahu jelas mengharapkan rakyat Palestin menerima perampasan tanah, penahanan tanpa bicara dan pembunuhan beramai-ramai sebagai sesuatu yang betul.
"Tetapi dunia tidak menganggapnya demikian. Bila segala usaha gagal, Hamas memilih jalan kekerasan kerana mahu membebaskan tanah air mereka,” katanya lagi.
Dr. Mahathir turut menegaskan walaupun Hamas dibubarkan dan dilucutkan senjata, rakyat Palestin serta dunia Islam tidak akan berhenti berjuang mendapatkan kembali tanah mereka dan menuntut pembalasan atas kezaliman Israel.
“Jika Israel mahu menghentikan usaha pembebasan Palestin, perang mesti dihentikan dan tanah Palestin dikembalikan. Tetapi apa yang dilakukan di Gaza akan membuatkan umat Islam membenci Yahudi selama-lamanya,” tegas beliau. - DETIK MALAYSIA
Kredit Foto - AFP/ Getty Images