KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi cukup dominan apabila membelasah Kuala Lumpur City FC 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium KLFA, malam ini.
Kemenangan besar itu memberikan kelebihan selesa buat skuad kendalian Xisco Munoz menjelang aksi timbal balik, sekali gus menghampiri pentas final.
JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang berbisa, Bergson Da Silva meledak gol seawal minit kelima menerusi rembatan padu yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Quincy Kammeraad.
Gandingan Bergson bersama Jairo Da Silva terus merobek benteng KL City dengan tekanan berterusan, sebelum pemain tengah import, Ager Aketxe menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, KL City cuba bangkit menerusi Safawi Rasid dan Madger Gomes, namun percubaan mereka gagal menembusi kekebalan benteng JDT yang dikawal kemas oleh penjaga gol, Syihan Hazmi.
JDT terus memperkukuh cengkaman apabila pertahanan, Oscar Arribas menambah jaringan ketiga, sekali gus meranapkan moral skuad kendalian Risto Vidakovic.
Tidak cukup dengan itu, Aketxe melengkapkan jaringan peribadi kedua untuk gol keempat JDT, sekali gus memastikan kemenangan bergaya 4-0 berpihak kepada pelawat.
Keputusan tersebut meletakkan JDT di landasan terbaik untuk mara ke final menjelang aksi timbal balik pada 7 April ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JDT