ALICANTE – Johor Darul Ta’zim (JDT) terlepas peluang melakar kemenangan apabila diikat 2-2 oleh gergasi Scotland, Rangers FC dalam aksi persahabatan pramusim di Alicante, Sepanyol awal pagi tadi.
Perlawanan itu menjadi medan persiapan terbaik buat kedua-dua pasukan menjelang saingan liga domestik dan kejohanan benua masing-masing.
Babak pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mencipta peluang berbahaya, namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Rangers hampir membuka tirai jaringan menerusi Djeidi Gassama, namun percubaannya berjaya dikekang benteng pertahanan JDT.
Juara Liga Super itu turut memperoleh peluang terbaik mereka selepas satu percubaan terkena tiang gol, namun keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
JDT memulakan babak kedua dengan cukup garang apabila penyerang berbisa, Bergson Da Silva meledak dua gol dalam tempoh tiga minit sekali gus meletakkan skuad kendalian Hector Bidoglio selesa mendahului 2-0.
Rangers hampir merapatkan jurang tidak lama kemudian, namun tandukan Emmanuel Fernandez sedikit tersasar melepasi palang ketika pasukan itu cuba menghidupkan semula saingan.
Kira-kira 30 minit sebelum tamat permainan, Rangers akhirnya menemui gol pertama menerusi Tochi Chukwuani yang menyempurnakan hantaran Ross McCrorie dari dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Chukwuani kemudian muncul wira Rangers apabila meledak gol penyamaan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol JDT.
Keputusan seri 2-2 itu memberikan persiapan berguna buat kedua-dua pasukan yang kini meneruskan persiapan menjelang musim baharu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
