LE MANS, Perancis – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) melakar sejarah baharu sukan permotoran negara apabila berjaya menamatkan perlumbaan ikonik 24 Jam Le Mans 2026 di kedudukan ke-14 kategori LMGT3 pada penampilan sulung mereka di pentas endurance paling berprestij dunia itu.
Kejayaan tersebut menjadi pencapaian penting buat JMR dan sukan permotoran Malaysia apabila pemilik pasukan yang juga pemandu, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Ibrahim, bergandingan dengan dua pelumba Britain, Ben Green dan Lorcan Hanafin, mengemudi jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R No. 2 hingga ke garisan penamat.
Tunku Jefri turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia keenam yang beraksi dalam perlumbaan legenda Le Mans 24 Jam.
Bermula di petak ke-24 selepas sesi kelayakan, JMR tampil cemerlang apabila berjaya memanjat kedudukan secara konsisten hasil kombinasi strategi perlumbaan yang bijak serta kelajuan kompetitif ditampilkan ketiga-tiga pemandu.
Ben Green muncul antara watak utama pasukan apabila beberapa kali membawa Corvette mereka berada dalam kelompok lima terbaik sepanjang pertengahan perlumbaan.
Namun, momentum JMR sedikit terganggu pada jam ke-17 apabila masalah kotak gear memaksa pasukan melakukan beberapa hentian kecemasan di pit.
Masalah teknikal itu menyebabkan mereka kehilangan empat pusingan dan tercicir daripada kelompok 10 terbaik ke tangga ke-19 dalam kelas LMGT3.
Walaupun berdepan cabaran besar, Tunku Jefri, Green dan Hanafin enggan mengalah apabila terus mempamerkan pemanduan konsisten serta mengutamakan kebolehpercayaan jentera sepanjang baki perlumbaan.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperbaiki kedudukan sebelum menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 dalam penampilan pertama mereka.
Pencapaian itu lebih manis memandangkan hampir satu pertiga daripada keseluruhan peserta kategori LMGT3 gagal menamatkan perlumbaan yang terkenal dengan tahap ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
JMR yang bekerjasama dengan TF Sport untuk penampilan sulung di Le Mans turut menyaksikan pasukan sekutunya muncul juara keseluruhan kategori LMGT3.
Mengulas pencapaian tersebut, Tunku Jefri menyifatkan menamatkan perlumbaan selama 24 jam itu sebagai satu kejayaan besar buat pasukan.
“Ini perlumbaan terbesar di dunia. Lebih 350,000 penonton hadir dan ia pengalaman yang luar biasa. Pasukan melakukan tugas yang hebat dan saya amat bangga dengan mereka.
“Pada penampilan pertama, menamatkan perlumbaan ini sudah menjadi satu pencapaian. Kami memiliki kelajuan yang baik tetapi terpaksa melakukan pembaikan yang menelan masa berharga. Ini baru permulaan dan kami akan kembali lebih kuat. Sasaran kami suatu hari nanti adalah untuk memenangi perlumbaan ini,” katanya.
Sementara itu, Green percaya peluang untuk menaiki podium sebenarnya terbuka sebelum masalah mekanikal melanda pasukan mereka.
“Menamatkan Le Mans pada cubaan pertama adalah pencapaian besar. Saya percaya kami mampu bersaing merebut podium jika tidak kehilangan masa akibat kerja pembaikan,” ujarnya.
Hanafin pula menyifatkan pengalaman tersebut sebagai motivasi tambahan untuk kembali lebih kuat pada edisi tahun depan.
Selepas menamatkan cabaran di Le Mans, JMR tidak mempunyai banyak masa untuk berehat apabila bakal kembali beraksi dalam perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium dalam tempoh dua minggu lagi.
Kejayaan menamatkan perlumbaan Le Mans pada penampilan sulung jelas membuktikan JMR dan sukan permotoran Malaysia kini semakin mampu bersaing di pentas antarabangsa bersama pasukan-pasukan terbaik dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JMR