LISBON – Aura panas belum reda, tekanan pula semakin terasa.
Pengendali Benfica, Jose Mourinho mengakui bukan mudah untuk menenangkan emosi selepas tercetus kontroversi dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, Selasa lalu.
Dalam perlawanan yang berakhir 1-0 memihak kepada Madrid itu, ketegangan tercetus sejurus jaringan Vinicius Junior. Penyerang Brazil tersebut mendakwa menerima hinaan berbaur perkauman daripada pemain Benfica, Gianluca Prestianni, sekali gus mencetuskan kekecohan di Stadium da Luz.
Sebelum itu, Vinicius turut diejek penyokong tuan rumah kerana dianggap meraikan gol secara berlebihan. Mourinho kemudian mempersoalkan cara pemain tersebut menyambut jaringan dan menyifatkan ada sesuatu yang tidak kena apabila ejekan sering mengiringinya di mana sahaja dia beraksi.
Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kecaman pelbagai pihak, malah ada yang melabel Mourinho sebagai hipokrit kerana gagal menilai situasi secara menyeluruh.
Menjelang aksi Liga Portugal menentang AVS, Mourinho tidak mengadakan sidang media seperti kebiasaan. Sebaliknya, beliau memilih bercakap menerusi saluran rasmi kelab.
“Perlawanan itu sangat menuntut dari setiap aspek. Sehingga minit ke-50, ia adalah aksi berkualiti tinggi dengan intensiti maksimum dari segi fizikal, taktikal dan fokus,” katanya.
Namun, beliau mengakui apa yang berlaku selepas itu memberi kesan mendalam.
“Dari minit ke-51 hingga sekarang dan ia belum berakhir, secara emosi bukan mudah untuk berdepan segala yang telah dan sedang berlaku,” ujarnya.
Mourinho turut menegaskan fokus kini harus terarah kepada perlawanan seterusnya yang penting buat misi dan impian Benfica musim ini.
Selepas bertemu AVS, Benfica bakal bertandang ke Madrid untuk aksi timbal balik minggu depan. Mourinho pula tidak akan berada di bangku simpanan selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama kerana memprotes keputusan pengadil.
Tekanan jelas menghimpit, namun bagi Mourinho, pengalaman panjangnya dalam bola sepak menjadi sandaran untuk terus berdiri dan melawan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Reuters
