JITRA – Kedah FA mempamerkan aksi bertenaga untuk membenam Kedah Darul Aman FC 4-1 dalam pertembungan Derbi Kedah saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26 di Stadium Mini MPKP, di sini sebentar tadi.
Pasukan pelawat bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-18 menerusi jaringan Nnabuke Chukwu yang bijak mengambil kesempatan atas kelalaian benteng pertahanan lawan.
Kedah FA terus menekan dan hasilnya mereka menggandakan kelebihan pada minit ke-24 selepas kekeliruan di bahagian pertahanan KDA FC menghadiahkan gol sendiri oleh Eirwan.
Momentum pasukan pelawat tidak terhenti di situ apabila Afeeq Iqmal menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-33, sekali gus memastikan Kedah FA selesa mendahului 3-0 sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, KDA FC cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Faris pada minit ke-76 untuk menghidupkan semula harapan penyokong tuan rumah.
Namun, Kedah FA lebih awal mengesahkan kemenangan apabila Barathkumar meledak gol keempat pada minit ke-72, sekali gus menutup peluang kebangkitan lawan.
Kemenangan bergaya itu mengukuhkan kedudukan Kedah FA dalam saingan liga, manakala KDA FC perlu segera memperbaiki kelemahan di benteng pertahanan menjelang aksi seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Persatuan Bola Sepak Kedah