KUALA LUMPUR – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang pendidikan tinggi terus diperkukuh menerusi pembaharuan Perjanjian Fulbright yang kini dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun lagi sehingga tahun 2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pelanjutan itu menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh pertukaran ilmu dan penyelidikan akademik.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1963, MACEE telah melahirkan ribuan alumni cemerlang dari kedua-dua negara. Dianggarkan lebih 1,000 pelajar Malaysia dan lebih 2,000 pelajar AS telah mendapat manfaat daripada program Fulbright Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Fulbright Smart Futures Conference sempena majlis pembaharuan United States–Malaysia Binational Agreement on Educational Exchange bersama Duta Besar AS ke Malaysia, TYT Edgard Kagan serta Timbalan Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Tenggara dan ASEAN, Hunt VanderToll.
Menurutnya, perjanjian berkenaan memainkan peranan penting melalui Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia–Amerika (MACEE) yang menjadi platform utama mengukuhkan mobiliti akademik, penyelidikan bersama dan pembangunan kapasiti ilmuwan.
Pada majlis itu, turut diumumkan pelantikan Pengarah Eksekutif baharu MACEE, Aeti Abdullah, seorang anak Malaysia graduan Universiti Harvard yang disifatkan sebagai simbol kesinambungan bakat dan kepimpinan ilmuwan muda negara.
Tambah Zambry, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan AS agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas oleh institusi serta pelajar di Malaysia, termasuk menerusi program mobiliti pelajar dan penyelidikan bersama. - DETIK MALAYSIA
