PELABUHAN KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuh kerjasama strategik bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menerusi operasi khas di perairan Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Operasi selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mac itu melibatkan seramai 25 anggota penguat kuasa iaitu 15 anggota KPDN Selangor dan 10 anggota Maritim Negeri Selangor.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi berkenaan menggunakan dua bot Maritim Malaysia serta sebuah Kapal Maritim Bagan Datuk bagi menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan pelabuhan.
Menurutnya, operasi khas tersebut memberi tumpuan kepada kapal dagang dari dalam dan luar negara yang menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan utama termasuk Northport dan Westport.
“Pada masa sama, operasi turut menumpukan pemeriksaan di jeti barter trade serta jeti persendirian di sekitar Pelabuhan Klang yang terlibat dengan aktiviti perdagangan membabitkan barangan kawalan.
“Operasi ini merupakan komitmen bersama dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi menangani aktiviti penyeludupan barang kawalan serta memastikan pengusaha bot nelayan, feri, kapal tangki dan kapal kargo mematuhi perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang operasi dijalankan, KPDN Selangor melakukan pemeriksaan terhadap 50 buah kapal dan bot meliputi kapal barter trade, bot kargo, bot nelayan tempatan serta tugboat.
Menurut beliau, selain penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, pihaknya turut memperluaskan skop pemeriksaan melibatkan pematuhan Akta Timbang dan Sukat 1972.
Katanya, setiap alat timbang dan sukat yang digunakan bagi urusan perdagangan di kapal perlu ditentusahkan oleh pihak berwibawa bagi memastikan ketepatan ukuran semasa transaksi.
“Antara kapal yang dikenal pasti menggunakan alat timbang dan sukat ialah kapal pembekal bahan api (bunker vessel), kapal tangki minyak serta kapal atau bot yang menjalankan aktiviti pemindahan bahan api dan barangan dagangan di laut,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang pemeriksaan dijalankan, pihaknya turut memberi advokasi dan peringatan kepada pengendali kapal supaya memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan berada dalam tempoh penentusahan.
Katanya, penggunaan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan merupakan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku urus niaga di Selangor boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KPDN Selangor