KUALA NERUS – Seramai lebih 500 peserta dari Malaysia dan beberapa negara Asia dijangka menyertai Pacific Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop yang akan berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari 7 hingga 10 September depan.
Persiapan awal program itu dibincangkan dalam mesyuarat pertama melibatkan Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pengarah Pusat Asasi STEM UMT di Bilik Mesyuarat Pusat Asasi STEM UMT pada 30 Julai lalu.
Turut hadir wakil Focal Person PIBKS, wakil Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kelautan (FTKK) UMT, Pengerusi PPIM Terengganu serta pengurusan Homestay Teluk Ketapang.

Sehingga 30 Julai, penyertaan yang diterima amat menggalakkan membabitkan Jakarta (35 peserta), Jawa Timur (200), Kepulauan Riau (28), Selatan Thailand (50), Aceh (40), Sumatera Utara (30), Sumatera Barat (40), Kemboja (20), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (60) dan Jabatan Pendidikan Islam Terengganu (40).
Dalam pada itu, PATA Malaysia Chapter sedang berusaha memastikan dua hingga empat lagi negara Asia Pasifik menyertai kejohanan tersebut.
Antara acara yang akan dipertandingkan dan diuruskan oleh Pusat Asasi STEM UMT ialah English Proficiency Test, Mathematic Test, Biology Test, Hafazan (Juzuk 1 hingga 10), Arabic Speech dan Public Speaking.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Fikri, SMK Ibrahim Fikri, Kuala Nerus, manakala majlis penutupan serta penyampaian pingat akan disempurnakan Naib Canselor UMT di Dewan Jubli Perak, Pejabat Daerah Kuala Nerus.
KHTK turut menyediakan penginapan untuk 400 delegasi luar negara di Homestay Teluk Ketapang.
Penganjur berharap program berkonsepkan edu-pelancongan itu dapat menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 serta memperkukuhkan Kuala Nerus sebagai Lembah Pendidikan negeri Terengganu. – DETIK MALAYSIA
