FIFA
KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyatakan pendirian selari dengan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dalam menyuarakan kebimbangan serius terhadap cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE).
Menurut AFC, cadangan membabitkan pelaburan swasta dalam kejohanan utama FIFA itu telah mencetuskan ketidaktentuan dalam komuniti bola sepak dunia sehingga kemungkinan boikot terhadap Piala Dunia FIFA mula diperkatakan secara terbuka.
“AFC percaya bola sepak tidak sepatutnya diletakkan dalam situasi sedemikian kerana Piala Dunia FIFA merupakan kemuncak bola sepak dunia yang mendapat kekuatannya daripada penyertaan semua konfederasi dan negara bola sepak utama,” menurut kenyataan itu hari ini.
AFC berpandangan cadangan FFE sukar memperoleh sokongan serta konsensus meluas susulan pendirian jelas yang diambil UEFA dan CONCACAF, selain perpecahan yang semakin ketara dalam dunia bola sepak.
Katanya, sebarang cadangan yang berisiko menjejaskan perpaduan dan sifat sejagat Piala Dunia perlu dipertimbangkan semula.
Menurut AFC, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan FFE, sebaliknya mendedahkan kelemahan asas dalam proses konsultasi dan pembuatan keputusan FIFA yang perlu diperbaiki segera.
Walaupun mengambil maklum penjelasan terkini FIFA mengenai cadangan itu, AFC menegaskan kebimbangan berkaitan tadbir urus, proses institusi dan konsultasi bermakna masih belum dijawab.
AFC berkata, cadangan sebesar itu yang mampu memberi kesan kepada masa depan komersial, sukan dan strategi bola sepak dunia tidak sepatutnya dibangunkan menerusi proses yang menyebabkan konfederasi, persatuan ahli (MA) serta badan pentadbiran FIFA sendiri termasuk Majlis FIFA berasa diketepikan.
Jelasnya, keputusan yang memberi impak besar kepada bola sepak dunia perlu dibangunkan menerusi proses yang telus serta mendapat keyakinan komuniti bola sepak.
Pada masa sama, AFC menyifatkan ini bukan kali pertama pihak berkepentingan berdepan inisiatif besar selepas hala tuju seolah-olah sudah ditentukan terlebih dahulu.
Menurut badan itu, pendekatan sedemikian menjejaskan keyakinan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA serta mengurangkan kewibawaan badan berkanunnya.
Sehubungan itu, AFC menggesa FIFA melaksanakan semakan segera terhadap rangka kerja tadbir urus dan proses membuat keputusan bagi memastikan setiap cadangan berkepentingan global dibangunkan melalui konsultasi yang sewajarnya, penglibatan bermakna serta pemantauan badan berkanun FIFA.
“AFC percaya masa depan Piala Dunia FIFA dan bola sepak dunia mesti dibentuk secara bersama oleh seluruh keluarga bola sepak dunia melalui institusi yang mencerminkan suara semua konfederasi serta persatuan ahli,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFP
