SHAH ALAM – Kes penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Jakarta, Indonesia berhubung dakwaan cubaan menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi serta sejumlah kecil syabu tidak seharusnya mencemarkan imej keseluruhan profesion juruterbang negara.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata, sekiranya dakwaan itu dibuktikan melalui proses undang-undang yang adil, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan berat kerana melibatkan jenayah rentas sempadan, penyalahgunaan kedudukan profesional serta memberi risiko besar kepada keselamatan penumpang, kru penerbangan dan reputasi industri penerbangan negara.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, satu kes terpencil tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum atau menimbulkan prasangka terhadap ribuan juruterbang, pegawai penerbangan, jurutera, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang yang menjalankan tugas dengan penuh disiplin, kemahiran dan tanggungjawab.
“Juruterbang yang berkhidmat dengan amanah perlu dipertahankan maruahnya, manakala individu yang melanggar undang-undang hendaklah dipertanggungjawabkan berdasarkan bukti dan proses perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, syarikat penerbangan juga tidak boleh menganggap insiden itu sebagai isu peribadi semata-mata kerana setiap juruterbang memikul tanggungjawab besar terhadap ratusan nyawa setiap kali pesawat berlepas.
Menurutnya, syarikat penerbangan wajib memastikan juruterbang berada dalam keadaan fizikal, mental dan emosi yang stabil sebelum mengendalikan penerbangan, selain pemantauan tidak hanya tertumpu kepada pemeriksaan kesihatan berkala atau penilaian kemahiran teknikal.
“Sebaliknya, aspek integriti, penyalahgunaan bahan terlarang, pengambilan alkohol, tekanan melampau, keletihan, masalah psikologi, beban kewangan dan kemungkinan penglibatan dengan rangkaian jenayah juga perlu diberikan perhatian serius,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa semua syarikat penerbangan, pihak berkuasa penerbangan awam dan agensi keselamatan memperketat saringan latar belakang juruterbang dan kru penerbangan, melaksanakan ujian dadah serta alkohol secara berkala dan mengejut, memperkukuh pemeriksaan kesihatan mental serta menyediakan saluran sulit untuk melaporkan masalah ketagihan atau tekanan.
Selain itu, katanya, pemantauan terhadap akses kru ke kawasan keselamatan, bagasi dan kargo perlu dipertingkatkan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa penerbangan negara serantau.
“MAPIM turut menyeru masyarakat dan media supaya tidak menjadikan kes ini sebagai bahan sensasi yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap juruterbang Malaysia. Fokus hendaklah diberikan kepada fakta, keselamatan penumpang, penambahbaikan sistem dan pertanggungjawaban individu yang terlibat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
