BANGKOK – Rekod sempurna Harimau Malaya dalam saingan Piala Hyundai ASEAN 2026 akhirnya terhenti apabila tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Rajamangala, malam tadi.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang sebelum ini mencatat kemenangan ke atas Myanmar dan Laos gagal meneruskan rentak cemerlang apabila dipaksa akur dengan aksi tersusun tuan rumah yang menghidupkan semula peluang mereka memburu gelaran kelapan kejohanan.
Malaysia menguasai sebahagian besar penguasaan bola pada awal permainan dengan corak hantaran pendek dari bawah, namun sukar menembusi benteng pertahanan Thailand yang tampil lebih berdisiplin.
Thailand hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Yotsakorn Burapha selepas menerima hantaran tepat Seksan Ratree, namun penyerang itu gagal melakukan sentuhan terakhir.
Tuan rumah akhirnya berada di depan pada minit ke-38 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan pertahanan Malaysia, Ubaidullah Shamsul mengasari Kakana Khamyok di dalam kotak penalti. Yotsakorn tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Thailand mendahului 1-0.
Thailand hampir menggandakan jaringan sebelum rehat menerusi Yotsakorn, namun percubaannya selepas menerima hantaran Teerasak Poeiphimai melambung tinggi, sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Malaysia memasukkan Faris Danish menggantikan Ruventhiran Vengadesan dalam usaha mengubah corak permainan, namun Thailand terus menghukum apabila Teerasak menyempurnakan hantaran lintang Worachit Kanitsribumphen pada minit ke-56 untuk gol kedua.
Malaysia cuba bangkit pada penghujung permainan menerusi percubaan deras Paulo Josue pada minit ke-78, namun berjaya ditepis penjaga gol Thailand, Kampon. Empat minit sebelum tamat permainan, Alif Ahmad turut menguji benteng tuan rumah, namun sekali lagi Kampon bertindak cemerlang menafikan jaringan pelawat.
Kemenangan itu menyaksikan Thailand mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, manakala Malaysia kekal dengan enam mata selepas mengharungi tiga aksi sekali gus menjadikan perebutan tiket ke separuh akhir Kumpulan B semakin sengit.
Harimau Malaya selepas ini akan melayan kunjungan Filipina di Stadium KLFA, Cheras pada 8 Ogos, manakala Thailand bertandang ke Stadium New Clark City Athletics untuk berdepan Filipina pada 4 Ogos. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA Thailand
