KUCHING – Kelab Kuching City FC berdepan kemungkinan dikenakan kekalahan percuma susulan kontroversi pertukaran pemain dalam aksi Liga Super menentang Penang FC, Sabtu lalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada 14 Mac itu, skuad dari Sarawak tersebut pada awalnya berjaya mencuri kemenangan 1-0 di tempat lawan hasil jaringan Gabriel Nistelrooy pada minit ke-40.
Namun, kemenangan tersebut kini menjadi tanda tanya selepas timbul isu membabitkan pertukaran pemain di penghujung perlawanan.
Kontroversi tercetus apabila pemain Filipina, Scott Woods, dimasukkan pada minit ke-90 menggantikan Joao Pedro.
Laporan menyebut nama Woods didakwa tidak tersenarai dalam senarai rasmi pemain simpanan pada hari perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakan dan pematuhan peraturan.
Jika dakwaan tersebut disahkan, ia boleh dianggap sebagai pelanggaran peraturan liga berkaitan pendaftaran senarai pemain dan penyertaan dalam perlawanan.
Susulan itu, Penang FC difahamkan telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Malaysian Football League.
Dalam satu kenyataan, kelab itu memaklumkan mereka sedang menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak liga.
Sekiranya bantahan itu diterima, Kuching City FC berdepan kemungkinan dikenakan kekalahan percuma 0-3, selain denda atau tindakan tatatertib lain.
Keputusan tersebut pastinya memberi impak besar kepada kedudukan liga, lebih-lebih lagi dalam saingan yang semakin sengit ketika ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC