KUALA LUMPUR – Lebih separuh orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti abdominal, sekali gus menunjukkan masalah lemak di bahagian perut bukan sekadar menjejaskan penampilan, malah boleh menjadi petanda risiko kesihatan yang lebih serius.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 54.5 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti abdominal berdasarkan ukuran lilit pinggang, meningkat daripada 45.4 peratus pada 2011.
Ukuran lilit pinggang menjadi antara petunjuk penting kerana lemak yang terkumpul di bahagian abdomen, khususnya lemak visceral, boleh membawa risiko kesihatan yang lebih serius.
Lemak visceral ialah lemak yang tersimpan jauh di dalam abdomen dan mengelilingi organ dalaman, berbeza dengan lemak subkutaneus yang lazimnya berada di bawah kulit dan boleh dilihat atau dirasai.
Lemak visceral dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan metabolik termasuk rintangan insulin, diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan keradangan kronik.
Menurut Pakar Estetik dan Penjagaan Kritikal dari Premier Clinic, Dr. Foo Wing Jian, seseorang tidak semestinya perlu kelihatan sangat berlebihan berat badan untuk mempunyai lemak abdomen atau visceral yang tinggi.
“Ramai orang menganggap jika mereka tidak terlalu gemuk, mereka berada dalam keadaan baik. Tetapi berat badan sahaja tidak menceritakan keseluruhan keadaan.
“Obesiti abdominal boleh menjadi tanda amaran penting mengenai risiko kesihatan yang mendasari. Sebab itu penting untuk melihat bukan sahaja berapa kilogram yang hilang, tetapi juga faktor seperti ukur lilit pinggang, komposisi badan, sejarah perubatan dan keadaan kesihatan apabila menilai pengurusan berat badan secara menyeluruh,” katanya di sini hari ini.
Justeru, masalah obesiti tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui angka pada penimbang kerana lokasi penyimpanan lemak dalam tubuh turut memainkan peranan terhadap risiko kesihatan seseorang.
Dalam pada itu, pengurusan berat badan juga bukan sekadar berkaitan kemahuan seseorang untuk makan lebih sedikit atau bersenam lebih banyak.
Tubuh mempunyai mekanisme biologi kompleks yang mengawal rasa lapar, kenyang, penggunaan tenaga dan berat badan.
Menurut Dr. Foo, apabila seseorang menurunkan berat badan, perubahan selera makan serta proses fisiologi lain boleh menyebabkan usaha mengekalkan berat badan untuk tempoh panjang menjadi lebih mencabar.
Keadaan itu antara faktor yang boleh menyumbang kepada kitaran berulang antara berdiet, menurunkan berat badan dan peningkatan semula berat badan.
“Bagi sesetengah individu, perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mencapai atau mengekalkan penurunan berat badan yang diperlukan.
“Namun, pendekatan pengurusan berat badan perlu melihat keadaan seseorang secara menyeluruh dan bukannya hanya mengejar penurunan berat badan dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata, pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur mencukupi dan perubahan tingkah laku kekal menjadi asas penting dalam pengurusan berat badan yang sihat.
Pada masa sama, individu yang menghadapi kesukaran menurunkan atau mengekalkan berat badan boleh mendapatkan penilaian profesional bagi mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan berkenaan.
Penilaian itu boleh merangkumi indeks jisim badan (BMI), ukuran lilit pinggang, komposisi badan, sejarah perubatan, keadaan metabolik, ubat-ubatan yang diambil serta gaya hidup.
Pendekatan berkenaan juga penting bagi mengelakkan masyarakat bergantung kepada diet ekstrem, produk kurus tidak disahkan atau kaedah penurunan berat badan secara mendadak yang mungkin hanya memberikan hasil jangka pendek. – DETIK MALAYSIA
