JOHOR BAHRU – Royal Johor meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Korea Polo 8-7 dalam aksi kedua Kejohanan Johor Super Crown Polo 2026 (JSCPT) di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, di sini semalam.
Pasukan yang diketuai Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu sekali lagi mempamerkan aksi sengit sebelum mengatasi Korea Polo dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Tunku Ismail turut menyumbang satu gol penting pada chukka keempat bagi membantu Royal Johor memastikan kemenangan.
Perlawanan berkenaan turut disaksikan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail serta anakanda-anakanda diraja.
Turut hadir, Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Kejohanan berstatus pertandingan elit 22-goal handicap itu mencipta sejarah sebagai acara polo terbesar dan paling berprestij pernah dianjurkan di Malaysia.
Penganjuran JSCPT digerakkan menerusi visi bersama Tunku Ismail dan ikon polo dunia, Pablo ‘Polito’ Pieres, bagi mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi utama dalam arena sukan mewah.
Sebanyak lima pasukan elit iaitu Royal Johor, Temasek, JCorp, Korea Polo dan Digital Bridge bersaing bagi merebut kejuaraan dengan barisan pemain bertaraf antarabangsa, termasuk beberapa juara Argentine Open berbilang kali.
Antara nama besar yang turun beraksi ialah Tunku Ismail dan Pablo ‘Polito’ Pieres yang mewakili Royal Johor, selain Ignatius ‘Nachi’ Du Plessis yang beraksi bersama Temasek. – DETIK MALAYSIA
Kredit artikel: The Royal Johor
Kredit foto: Official Johor Super Crown Polo
