LIKAS – Sabah FC dan Selangor FC terikat 2-2 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA Malaysia 2026/27 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir apabila mereka akan bertemu dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 9 September ini.
Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi pemain import New Zealand, Dane Ingham yang menanduk masuk bola hasil serangan di dalam kotak penalti.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Selangor menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian menerusi tandukan Kay Tejan pada minit ke-35.
Kedua-dua pasukan terus melakukan beberapa percubaan selepas itu, namun kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor tampil lebih agresif dan berjaya mendahului pada minit ke-50 menerusi Chrigor Moraes.
Penyerang Brazil itu melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti untuk meletakkan The Red Giants di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Sabah enggan mengalah dan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-58 menerusi pemain tengah berpengalaman, Halim Shaari.
Jaringan tersebut menghidupkan kembali semangat pasukan tuan rumah untuk memburu gol kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
Kedua-dua pasukan kemudian saling melakukan serangan pada baki perlawanan, namun gagal menambah jaringan untuk menamatkan aksi dengan keputusan 2-2.
Keputusan itu menyaksikan Sabah membawa bekalan keputusan seri ke aksi kedua, manakala Selangor mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menentukan tiket ke suku akhir pada 9 September ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sabah FC
