SHAH ALAM – Legasi intelektual Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei dalam berdepan Islamofobia serta gagasan penyatuan ummah perlu dinilai secara ilmiah dan dalam konteks sejarah, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Agensi Berita Taqrib Baina Mazahib sempena majlis penghormatan kepada Pemimpin Tertinggi Iran yang terkorban di Tehran semalam.
Menurut Mohd. Azmi, antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah penegasan bahawa Islam perlu difahami berdasarkan sumber yang sahih serta nilai moralnya, bukannya melalui stereotaip atau propaganda politik.
“Beliau secara konsisten menegaskan bahawa Islam adalah agama yang menegakkan keadilan, ilmu, belas ihsan, maruah insan dan penentangan terhadap penindasan.
“Beliau juga menolak usaha mengaitkan Islam dengan fahaman ekstrem dengan menggalakkan umat Islam, khususnya golongan muda, memperkukuhkan kefahaman terhadap al-Quran dan sunnah serta menyumbang secara positif kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas kesan pemergian pemimpin itu terhadap generasi muda Islam di Barat, Mohd. Azmi berkata, peristiwa tersebut dijangka menjadi titik renungan kepada ramai anak muda untuk mendalami idea serta nilai yang membentuk kepimpinan Allahyarham.
Katanya, ketabahan, daya tahan dan keupayaan mempertahankan identiti Islam ketika berdepan pelbagai tekanan merupakan antara nilai yang dekat dengan pengalaman sebahagian umat Islam yang hidup sebagai minoriti.
“Jika difahami secara bijaksana dan seimbang, legasi beliau mampu melahirkan generasi muda Islam yang lebih berkeyakinan dari sudut intelektual, bertanggungjawab kepada masyarakat serta komited memperjuangkan keadilan melalui saluran yang sah dan beretika,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Azmi berpandangan Allahyarham turut memainkan peranan penting memperkukuh wacana mengenai konsep ummah sebagai sebuah komuniti yang disatukan oleh akidah, tanggungjawab moral dan perjuangan menegakkan keadilan, tanpa dibatasi sempadan bangsa, negara atau mazhab.

Menurutnya, Allahyarham sering menekankan bahawa cabaran seperti penjajahan, kemiskinan, penguasaan kuasa asing, Islamofobia dan perpecahan dalaman memerlukan tindakan kolektif serta kerjasama strategik dalam kalangan negara Islam.
“Walaupun terdapat pelbagai pandangan terhadap aspek tertentu kepimpinan politik beliau, seruan berterusan mengenai perpaduan, maruah dan penentangan terhadap kezaliman telah memberi pengaruh besar dalam perbincangan mengenai masa depan ummah,” ujarnya.
Mengulas usaha memperkenalkan legasi Allahyarham kepada generasi muda, Mohd. Azmi berkata, pendekatan pendidikan dan intelektual lebih berkesan berbanding memusatkan perhatian kepada tokoh semata-mata.
Beliau mencadangkan penerbitan buku, dokumentari dan kandungan digital dalam pelbagai bahasa, selain penganjuran forum belia antarabangsa, seminar akademik, program penyelidikan universiti serta kandungan media sosial yang sesuai dengan generasi muda.
“Pada masa sama, budaya kesukarelawanan, khidmat kemanusiaan dan kepimpinan masyarakat perlu diperkasakan berasaskan nilai Islam sejagat seperti keadilan, belas ihsan, pengorbanan dan khidmat kepada manusia.
“Matlamat utamanya bukan sekadar memelihara sejarah, tetapi melahirkan generasi yang menggabungkan keimanan dengan ilmu, keberanian moral dengan kebijaksanaan serta komitmen terhadap keadilan demi kesejahteraan manusia sejagat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
