SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan majlis pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran yang terkorban sebagai bukan sekadar upacara penghormatan terakhir, sebaliknya membawa mesej besar kepada seluruh umat Islam mengenai kepentingan perpaduan, keadilan dan kepimpinan berprinsip.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Republik Islam Iran serta umat Islam di seluruh dunia atas pemergian pemimpin berkenaan.
Menurut beliau, himpunan jutaan rakyat yang menghadiri majlis pengebumian itu membuktikan kekuatan nilai keimanan, pengorbanan, ketabahan dan kepimpinan yang berteraskan prinsip.
“Mereka bukan sekadar meratapi kehilangan seorang pemimpin, malah memperbaharui komitmen untuk menegakkan keadilan, mempertahankan kedaulatan negara serta menolak segala bentuk penindasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi berkata, terdapat empat mesej utama yang boleh diambil daripada peristiwa berkenaan.
Katanya, kepimpinan yang diasaskan kepada keimanan, integriti dan pengorbanan akan terus meninggalkan legasi yang tidak mampu dipadamkan walaupun melalui pembunuhan.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya kembali memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran bersama tanpa dipengaruhi perpecahan politik, persaingan mazhab atau kepentingan geopolitik yang boleh melemahkan tanggungjawab mempertahankan maruah umat Islam serta golongan tertindas.
Selain itu, katanya, konsep perjuangan mempertahankan kedaulatan perlu difahami sebagai usaha yang sah untuk melindungi keadilan, maruah insan dan kemerdekaan negara daripada penjajahan, pencerobohan serta penguasaan asing selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau berkata, pengorbanan para pemimpin dan rakyat biasa perlu dijadikan inspirasi untuk memperkukuh pendidikan, membina institusi, memperluaskan khidmat kemanusiaan serta memperkasakan ummah.
“Ketika dunia Islam berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, majlis pengebumian ini seharusnya menjadi titik muhasabah agar umat Islam bergerak melangkaui retorik kepada tindakan melalui solidariti, kerjasama strategik dan kepimpinan berteraskan keadilan, belas ihsan serta saling menghormati.
“Mapim percaya masa depan dunia Islam bergantung kepada keupayaan melahirkan kepimpinan berwawasan, mengukuhkan perpaduan antara negara, melabur dalam ilmu pengetahuan serta mempertahankan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan rahmat kepada para syuhada, memberikan ketabahan kepada rakyat Iran dan menyatukan umat Islam dalam memperjuangkan keamanan yang berteraskan keadilan, maruah dan kebenaran. – DETIK MALAYSIA
