Screenshot
MILAN – Penjaga gol utama Mike Maignan akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila rasmi menandatangani kontrak baharu bersama AC Milan sehingga tahun 2031.
Perkara itu diumumkan menerusi laman web rasmi kelab Rossoneri pada Sabtu malam. Maignan yang sepatutnya tamat kontrak pada musim panas ini turut menerima kenaikan gaji dua kali ganda kepada sekitar €5 juta setahun (kira-kira RM99.36 juta).
“AC Milan dengan sukacitanya mengumumkan lanjutan kontrak Mike Maignan sehingga 30 Jun 2031,” menurut kenyataan rasmi kelab.
Sebelum ini, masa depan penjaga gol berusia 30 tahun itu menjadi tanda tanya selepas rundingan kontrak baharu dilaporkan tergendala sejak musim panas lalu. Beberapa kelab besar Eropah termasuk Chelsea dan Paris Saint-Germain turut dikaitkan dengan khidmatnya.
Namun, Milan dan Maignan akhirnya mencapai persetujuan untuk meneruskan kerjasama di Stadium San Siro. Maignan merupakan penjaga gol utama kelab sejak menggantikan Gianluigi Donnarumma pada tahun 2021.
Sehingga kini, beliau telah membuat 188 penampilan bersama Milan dan mencatat 70 perlawanan tanpa bolos (clean sheet). Maignan turut memainkan peranan penting membantu Milan menjuarai Scudetto pada musim pertamanya, selain memenangi Piala Super Itali 2024.
Pihak kelab menyatakan lanjutan kontrak ini diharap dapat terus mengukuhkan hubungan bersama Maignan dalam misi memburu lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang. – DETIK MALAYSIA