YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan PM Abiy mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala semasa lawatan 3 hari ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. 19 November 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or fact
PUTRAJAYA – Malaysia dan Ethiopia bersetuju memperkasa hubungan dua hala ke tahap lebih strategik merangkumi perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam pertemuan empat mata beliau dengan Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali sebelum kedua-duanya mengetuai mesyuarat delegasi masing-masing.
“Kami memperteguh tekad membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik termasuk peluasan perdagangan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Malaysia turut menyambut baik persetujuan mewujudkan mekanisme rundingan berkala selain pelbagai inisiatif bagi memperluas ruang kerjasama rakyat dan keterhubungan antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, terdapat potensi besar dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal, keselamatan siber serta peluang baharu melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara dewan perniagaan kedua-dua negara.
“Malaysia membuka akses terhadap produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan serta menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti. Kita juga mencadangkan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia,” katanya.
Katanya, kedua-dua negara turut sepakat memperkukuh kerjasama dalam pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET dan penyelidikan, selain meneruskan sokongan Malaysia terhadap reformasi ekonomi Ethiopia melalui MTCP.
Anwar turut menghargai sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara itu sebagai tuan rumah COP32 pada 2027.
“Saya yakin kerjasama Malaysia–Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur dan inklusif,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Facebook Anwar Ibrahim