KUALA LUMPUR – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil di bawah Stop The War Coalition menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap peperangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Memorandum tersebut diselaraskan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, yang bertindak sebagai penyelaras dan jurucakap gabungan berkenaan.
Menurut beliau, tindakan ketenteraan yang berterusan di Gaza, peningkatan ketegangan terhadap Iran serta ancaman terhadap Masjid Al Aqsa menunjukkan bahawa prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan kini semakin terhakis.
“Pertubuhan hak asasi manusia telah memberi amaran bahawa serangan terhadap hospital, sekolah dan kawasan perumahan melanggar prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan melindungi orang awam semasa peperangan.
“Dunia tidak boleh berdiam diri ketika peraturan yang melindungi keamanan dan keselamatan antarabangsa semakin dilemahkan,” katanya dalam memorandum hari ini.
Memorandum tersebut ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, sebagai gesaan supaya kuasa besar dunia mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dalam menangani konflik di rantau berkenaan.
Dalam memorandum itu, gabungan NGO terbabit mengemukakan enam tuntutan utama kepada Amerika Syarikat.
Antara tuntutan tersebut termasuk penghentian ancaman terhadap Masjid Al Aqsa, gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza serta pembukaan akses kemanusiaan sepenuhnya kepada bantuan makanan, air dan perubatan kepada penduduk awam.
Selain itu, memorandum berkenaan turut menuntut agar sokongan terhadap perluasan penempatan haram di Tebing Barat dihentikan, di samping menyeru supaya semua bentuk pencerobohan ketenteraan terhadap Iran ditamatkan segera.
Gabungan tersebut juga menolak sebarang agenda perubahan rejim melalui peperangan serta menggesa agar pendekatan ketenteraan di Asia Barat digantikan dengan diplomasi, dialog dan penyelesaian konflik secara aman.
Menurut memorandum itu, sejarah telah membuktikan bahawa peperangan yang berasaskan dominasi kuasa jarang membawa kestabilan, sebaliknya mencetuskan kitaran konflik, balas dendam dan ketidakstabilan berpanjangan.
“Keamanan tidak boleh dibina atas dominasi, dan keadilan tidak akan wujud apabila kuasa menggantikan undang-undang,” jelas kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan menegaskan empat tuntutan utama kepada masyarakat antarabangsa iaitu tidak menyentuh kesucian Masjid Al Aqsa, menghentikan genosid di Gaza, menghentikan pencerobohan terhadap Iran serta menghormati undang-undang antarabangsa.
Memorandum itu turut disokong puluhan pertubuhan termasuk Mapim, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), IKRAM, MyCARE, HALUAN, PKPIM serta beberapa rangkaian NGO tempatan dan antarabangsa yang memperjuangkan keamanan dan solidariti terhadap Palestin. – DETIK MALAYSIA