SELAYANG – Negeri Sembilan FC akhirnya menamatkan kemarau kemenangan apabila membelasah PDRM FC 6-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium MPS, Selayang, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu menjadi tonik buat skuad Hobin Jang Hobin selepas tujuh perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini, termasuk empat kekalahan dan dua keputusan seri dalam semua pertandingan.
Pasukan tuan rumah bermula garang apabila penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin membuka tirai jaringan seawal minit kelima untuk meletakkan Negeri Sembilan di hadapan.
Namun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 menerusi jaringan Park Tae-soo yang menewaskan benteng tuan rumah.
Negeri Sembilan kembali menguasai permainan menjelang tamat babak pertama apabila pemain tengah Jepun, Takumi Sasaki meledak gol kedua pada minit ke-38 sebelum Luqman sekali lagi mencuri tumpuan dengan jaringan kedua peribadi dua minit kemudian bagi memastikan tuan rumah mendahului 3-1 ketika rehat.
Bersambung babak kedua, dominasi Negeri Sembilan diteruskan apabila Yuichi Hirano menambah gol keempat pada minit ke-53 sekali gus meletakkan tuan rumah semakin selesa.
Sasaki kemudian melengkapkan dua gol peribadi pada minit ke-69 sebelum pertahanan kebangsaan, Khuzaimi Piee menutup pesta jaringan menerusi gol keenam pada minit ke-78.
Keputusan itu menyaksikan NSFC kembali ke landasan kemenangan dengan penuh bergaya, sekali gus memberikan suntikan moral penting buat skuad Hobin Jang Hobin bagi menghadapi baki saingan liga musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC