KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera menggerakkan dana kecemasan bagi mengelakkan bantuan makanan kepada rakyat Palestin terus dipotong susulan krisis pembiayaan kemanusiaan.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amaran Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa bantuan makanan di Tebing Barat akan dikurangkan separuh mulai bulan ini merupakan kecemasan kemanusiaan yang tidak boleh dianggap sekadar masalah kekurangan dana.
Menurut beliau, jumlah penerima bantuan yang terjejas akan dikurangkan daripada 400,000 kepada hanya 200,000 orang, sedangkan kira-kira 900,000 penduduk di Tebing Barat kini berdepan ketidakjaminan makanan.
“WFP turut memberi amaran bahawa operasi di Gaza juga terjejas akibat krisis pembiayaan yang sama.
“Keadaan ini berlaku ketika rakyat Palestin berdepan pendudukan, perpindahan, keganasan peneroka, tekanan ekonomi serta kemusnahan sumber kehidupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAPIM turut menyelar sikap kerajaan Barat yang didakwa mengamalkan dwistandard apabila lantang memperjuangkan hak asasi manusia, demokrasi dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan, namun pada masa sama mengurangkan komitmen bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Katanya, keadaan itu menyebabkan agensi kemanusiaan terpaksa membuat pilihan mengenai siapa yang akan menerima makanan dan siapa pula yang tidak lagi mendapat bantuan.
“Bantuan kemanusiaan tidak sepatutnya menjadi mangsa percaturan geopolitik.
“WFP melaporkan 76 peratus isi rumah di Tebing Barat mengalami penurunan pendapatan yang ketara, manakala satu pertiga keluarga tidak mampu mendapatkan diet berkhasiat,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM menggesa OIC beralih daripada sekadar mengeluarkan kenyataan dan resolusi kepada tindakan kolektif berskala besar.
Azmi berkata, OIC sebelum ini sudah berulang kali menyatakan sokongan kepada Palestin termasuk menggesa sumbangan kepada Tabung Solidariti Islam serta bantuan kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
“Namun, rakyat Palestin kini memerlukan tindakan yang setimpal dengan skala krisis.
“Dunia Islam mempunyai sumber kewangan, dana kekayaan negara, institusi kemanusiaan, mekanisme zakat, institusi wakaf, dana pembangunan dan rangkaian masyarakat sivil yang besar,” katanya.
Beliau berkata, MAPIM mencadangkan OIC menubuhkan Inisiatif Pembiayaan Kemanusiaan Islam Kecemasan untuk Palestin dengan menghimpunkan negara anggota, institusi kewangan Islam, badan zakat, institusi wakaf, pertubuhan kemanusiaan serta masyarakat sivil Islam.
Menurutnya, WFP menganggarkan tambahan AS$386 juta (RM1.62 bilion) diperlukan dalam tempoh enam bulan bagi membantu kira-kira dua juta penduduk yang berdepan ketidakjaminan makanan di Gaza dan Tebing Barat.
“Jumlah itu tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan yang mustahil ditanggung, sebaliknya tanggungjawab kemanusiaan bersama dunia Islam.
“Persoalannya bukan sama ada sumber itu wujud, tetapi sama ada terdapat kemahuan politik untuk menggerakkannya,” katanya.
MAPIM turut mencadangkan penubuhan Dana Kecemasan Kemanusiaan Palestin OIC, mekanisme zakat dan wakaf Islam secara bersepadu, program keselamatan makanan Gaza dan Tebing Barat serta rizab kemanusiaan Islam yang boleh digerakkan segera apabila pembiayaan antarabangsa terputus.
Azmi berkata, usaha berkenaan perlu disusuli program jangka panjang bagi membangunkan semula kehidupan rakyat Palestin termasuk sektor pertanian, pengeluaran makanan, kesihatan dan ekonomi tempatan.
Beliau pada masa sama menegaskan bantuan kemanusiaan tidak boleh menggantikan tindakan politik bagi menangani punca sebenar krisis.
“Rakyat Palestin bukan berdepan ketidakjaminan makanan secara berasingan. Mereka menderita akibat pendudukan, pengusiran, peluasan penempatan, sekatan pergerakan, kawalan ekonomi, rampasan tanah dan keganasan sistematik.
“OIC perlu membangunkan tindakan yang mempunyai kesan terhadap negara, syarikat dan institusi yang memudahkan pendudukan serta peluasan penempatan haram,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa negara anggota OIC segera menutup jurang pembiayaan WFP, manakala Sekretariat OIC diminta mengadakan mesyuarat kecemasan khusus berhubung krisis pembiayaan kemanusiaan Palestin.
Institusi kewangan Islam pula disaran menubuhkan kemudahan pembiayaan khusus bagi bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Palestin, selain badan zakat serta wakaf menyelaraskan mekanisme rentas negara untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang layak.
“Palestin tidak boleh bergantung kepada simpati semata-mata.
“Palestin memerlukan solidariti yang diterjemahkan kepada sumber, sumber kepada tindakan dan tindakan kepada kesan politik,” katanya.
Azmi berkata, masa untuk sekadar menyatakan kebimbangan sudah berakhir dan OIC bersama negara anggotanya perlu bertindak segera bagi memastikan rakyat Palestin tidak terus dibiarkan kelaparan ketika dunia membahaskan siapa yang perlu menanggung kos bantuan. – DETIK MALAYSIA
