KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan Shukor Adan mengatur taktikal dan rentak permainan membantu Malaysia Bawah 20 (B-20) mengekang Indonesia B-20 untuk mengutip satu mata dalam aksi Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos, kelmarin.
Pemerhati bola sepak Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah berkata, Shukor bijak menutup kelemahan pasukannya menerusi pendekatan taktikal yang menyaksikan Malaysia kekal tenang ketika diasak Indonesia.
Menurutnya, meskipun Indonesia dilihat lebih menguasai permainan, Malaysia tidak panik sebaliknya mengekalkan pertahanan yang rapat dan sabar menunggu peluang.
“Shukor Adan tahu pasukannya masih ada kekurangan, tetapi dia mampu menutupinya dengan bermain secara taktikal.
“Malaysia bijak mengatur rentak ketika bertahan. Walaupun menerima tekanan daripada lawan, pemain Malaysia sabar menunggu dengan pertahanan yang rapat,” katanya.
Indonesia yang dikendalikan Nova Arianto terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas perlawanan berakhir tanpa jaringan di New Laos National Stadium, Vientiane.
Raja Isa berkata, keputusan tersebut lebih memihak kepada Malaysia, terutama selepas Indonesia gagal memanfaatkan penguasaan permainan dan beberapa peluang yang dimiliki.
“Keputusan seri ini kurang adil bagi Nova Arianto, tetapi bagus untuk Shukor Adan. Perlawanan kedua nanti tentu lebih sukar buat kedua-dua jurulatih,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Isa mengakui Indonesia tampil lebih baik dari segi penguasaan permainan apabila pergerakan pemain dan aliran bola mereka dilihat cukup kemas.
Katanya, transisi Indonesia daripada bertahan kepada menyerang juga berjalan baik selain disokong ketahanan fizikal pemain yang bagus.
Bagaimanapun, Indonesia dilihat terlalu terburu-buru ketika menguasai bola sehingga gagal memanfaatkan kelebihan dimiliki.
“Dengan kelebihan yang ada, sepatutnya Indonesia bermain lebih tenang sambil terus membuka peluang.
“Kalau tidak silap, Indonesia mempunyai sekitar empat hingga lima peluang untuk menjaringkan gol. Disebabkan terlalu terburu-buru dan kurang fokus, penyudah mereka kurang tepat,” katanya.
Raja Isa berkata, faktor pertembungan antara dua pasukan yang dianggap musuh tradisi turut menyebabkan pemain Indonesia kelihatan tegang dalam perlawanan tersebut.
“Pemain merasakan mereka boleh menang dan pada masa sama mahu menjaringkan gol dengan cepat,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia dan Indonesia masing-masing mengutip satu mata selepas aksi pertama Kumpulan H.
Dalam aksi kedua pada Khamis ini, Malaysia B-20 akan menentang Australia B-20, manakala Indonesia B-20 berdepan tuan rumah, Laos B-20. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
