SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menzahirkan sokongan terbuka kepada Ahli Kongres Amerika Syarikat, Ilhan Omar menerusi sepucuk surat rasmi yang disifatkan sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan hak asasi manusia dan golongan pendatang.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, surat bertarikh hari ini itu ditulis dengan penuh rasa hormat dan kebersamaan ketika suasana politik di Amerika dilihat semakin tegang, khususnya membabitkan isu imigresen dan kebebasan sivil.
Menurutnya, Mapim mengiktiraf keberanian Ilhan Omar kerana berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan dan menentang pendekatan politik serta dasar yang dikaitkan dengan pentadbiran Donald Trump, yang disifatkan menekan golongan minoriti dan pendatang.
“Pendirian beliau bukan sekadar penentangan politik, tetapi satu bentuk ketegasan moral. Beliau memberi suara kepada mereka yang terpinggir dan mempertahankan maruah manusia ketika ramai memilih berdiam diri,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Azmi turut menyatakan bahawa keberanian Ilhan Omar memberi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Amerika, tetapi juga kepada komuniti tertindas dan pendatang di seluruh dunia.
Dalam surat itu, Mapim mendoakan agar Ilhan Omar terus istiqamah memperjuangkan keadilan, belas ihsan dan nilai kemanusiaan sejagat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Mandel Ngan / AFP / Getty