SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia merupakan ujian terhadap kejelasan prinsip dasar luar negara, keberanian moral serta komitmen terhadap keadilan sejagat.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun hubungan diplomatik antara negara adalah normal dan perlu, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berdiam diri terhadap penindasan sistematik terhadap minoriti, khususnya umat Islam di India.
Menurutnya, Mapim berpendirian bahawa kerjasama ekonomi dan geopolitik tidak boleh menghalang Malaysia daripada menyuarakan kebimbangan serius terhadap pelanggaran hak asasi manusia, keganasan berasaskan agama serta dasar diskriminasi yang dikaitkan dengan ideologi Hindutva.
“Ruang kebebasan beragama semakin mengecil, terdapat undang-undang diskriminasi atas nama kewarganegaraan, serangan terhadap masjid dan institusi Islam serta retorik kebencian yang semakin dinormalisasikan. Ini bukan sekadar isu domestik India, tetapi isu kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut menegaskan bahawa ideologi Hindutva bercanggah dengan prinsip kepelbagaian dan keharmonian sosial yang menjadi asas Malaysia, selain berpotensi memecahbelahkan masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, Mapim menggesa kerajaan Malaysia supaya menggunakan kedudukan negara sebagai negara majoriti Muslim dengan berani dan bermaruah untuk membangkitkan isu perlindungan hak asasi dan kebebasan beragama umat Islam India secara tegas tetapi konstruktif.
Mapim juga menekankan bahawa kepentingan ekonomi tidak boleh mengatasi nilai keadilan, kerana pembangunan tanpa prinsip akan menjejaskan kredibiliti negara.
“Diplomasi tanpa prinsip akhirnya akan kehilangan maruahnya,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – REUTERS/Altaf Hussain