SHAH ALAM – Selangor FC mengambil tindakan tegas apabila menggantung kumpulan penyokong tegar mereka, UltraSel, daripada menghadiri sebarang perlawanan pasukan itu bagi tempoh tiga perlawanan berkuat kuasa 8 hingga 22 Februari ini.
Keputusan tersebut dibuat susulan insiden kekecohan membabitkan tindakan menyalakan suar serta gangguan ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum perlawanan Liga Super Malaysia 2025/26 antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 1 Februari lalu.
Dalam insiden berkenaan, sekumpulan penyokong dipercayai bertindak keterlaluan apabila menyalakan suar di mercu tanda ikonik Terengganu itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Pihak polis menahan 33 individu untuk siasatan lanjut, dengan laporan awal mendapati 21 daripadanya positif THC (ganja), termasuk melibatkan pelajar universiti dan sekolah menengah.
Susulan kejadian itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Diraja Selangor FC menzahirkan kekecewaan dan menegaskan baginda tidak bertolak ansur dengan sebarang budaya samseng dalam sukan.
Dalam kenyataan rasmi, Selangor FC menegaskan bahawa tindakan penggantungan ini dibuat selaras dengan titah Tuanku Sultan Selangor dan nasihat Pengerusi Kelab, Tengku Amir Shah.
“Kelab tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan imej negeri dan pasukan. Kami menuntut budaya penyokong yang positif, bukan ancaman kepada keselamatan awam,” jelas kenyataan itu.
Antara tindakan disiplin yang dikenakan termasuklah penggantungan UltraSel daripada menghadiri perlawanan melibatkan Selangor FC sepanjang tempoh 8 hingga 22 Februari, termasuk aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dan perlawanan Liga Super berdepan Kuching City FC.
“Senarai hitam tiga tahun terhadap mana-mana individu yang disabitkan kesalahan berkaitan dadah, di mana mereka dilarang memasuki stadium bagi sebarang perlawanan Selangor FC,” katanya.
Selangor FC turut menegaskan bahawa kelab komited memastikan keselamatan dan imej bola sepak negara terpelihara serta tidak terjejas oleh segelintir penyokong tidak bertanggungjawab. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UltraSel Curva