HULU LANGAT – Wellness Hub Hulu Langat menjadi mercu tanda baharu reformasi sistem kesihatan negara yang beralih daripada pendekatan merawat penyakit semata-mata (sick care) kepada pencegahan dan pemerkasaan kesihatan rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan fasiliti itu selari dengan kerangka Malaysia Madani yang meletakkan kesihatan sebagai prasyarat utama kepada kemakmuran negara.
Menurutnya, kos mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD) kini mencecah RM64.3 bilion setahun, jauh mengatasi Bajet Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM46.52 bilion bagi tahun ini.
“Ini jelas menunjukkan kita tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada rawatan penyakit. Sudah tiba masanya sistem kesihatan negara beralih kepada pencegahan serta memperkasa rakyat untuk menjaga kesihatan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Wellness Hub Hulu Langat, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, Wellness Hub berperanan merakyatkan kesihatan dengan meningkatkan akses dan literasi kesihatan supaya masyarakat lebih celik serta mampu membuat keputusan yang lebih baik berkaitan kesejahteraan diri.
Katanya, fasiliti itu juga menjadi platform strategik bagi menangani isu kritikal seperti stunting (bantut) dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak melalui perkhidmatan rundingan pemakanan, bermula dari peringkat awal kehamilan hingga 1,000 hari pertama kehidupan anak.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Behavioural Insights atau sains tingkah laku diterapkan di Wellness Hub, iaitu bukan sekadar memberi arahan, tetapi membimbing rakyat membuat pilihan gaya hidup lebih sihat secara sukarela.
Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata Wellness Hub Hulu Langat menerima lebih 19,000 klien pada 2025, peningkatan hampir 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Secara nasional, sebanyak 38 Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara, termasuk lima fasiliti baharu yang mula beroperasi tahun ini di Kuala Selangor, Muar, Sibuti, Muallim dan Sandakan.
Wellness Hub juga menyokong agenda penuaan sihat selaras dengan pembangunan Pakej Warga Emas di bawah Pelan Strategik KKM 2026–2030.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa lima lagi Wellness Hub bakal dilancarkan selepas Hulu Langat, termasuk di Muar, Johor; Sibuti; Muallim dan Sandakan, Sabah.
Mengulas situasi tempatan, beliau berkata daerah Hulu Langat menunjukkan trend peningkatan kes diabetes yang konsisten dan membimbangkan.
Pada 2024, sebanyak 1,461 kes baharu direkodkan, peningkatan 5.24 peratus, manakala pada 2025 sebanyak 1,386 kes baharu dicatatkan, naik 4.73 peratus.
Secara keseluruhan, dalam tempoh dua tahun, beban kes diabetes di daerah ini meningkat sebanyak 2,847 kes atau kira-kira 10.2 peratus, menunjukkan keperluan mendesak terhadap intervensi pencegahan di peringkat komuniti.
Daripada 680 klien yang menyertai intervensi pengurusan berat badan, 71 peratus berjaya menurunkan berat badan.
Sebanyak 76 peratus klien pula menunjukkan peningkatan tahap kecergasan fizikal, manakala 14 peratus berjaya mengurangkan 10 peratus daripada berat badan asal mereka, sekali gus mengurangkan faktor risiko NCD.
Dr Dzulkefly menyeru komuniti Hulu Langat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan.
“Pelaburan dalam kesejahteraan hari ini adalah jaminan kepada masa depan negara yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Baanhaw