SHAH ALAM – Kumpulan penyokong tegar Selangor FC, UltraSel Curva, tampil mempertahankan pendirian mereka dengan menegaskan bahawa mereka menerima kesalahan, namun mempertikaikan proses dan keputusan disiplin yang dikenakan kelab terhadap beberapa penyokong susulan insiden sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 1 Februari lalu.
UltraSel dalam kenyataan menegaskan bahawa mereka tidak pernah menafikan kesalahan yang berlaku dan tidak sesekali menormalisasikan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, individu terlibat telah melalui proses perundangan termasuk penahanan, ikat jamin, pendakwaan serta prosiding mahkamah yang masih berjalan, selain ada yang sudah selesai kes mereka.
“Kami menghormati proses tersebut dan telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak hari pertama,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, UltraSel menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan disiplin Selangor FC yang disifatkan dibuat tanpa proses yang wajar, khususnya ketika kes masih dibicarakan di mahkamah.
Mereka menegaskan hukuman jenayah adalah bidang kuasa mahkamah, bukannya entiti pentadbiran, dan individu yang belum disabitkan kesalahan tidak wajar dihukum terlebih dahulu.
“Keputusan ini dibuat tanpa sesi pendengaran, tanpa perincian tahap kesalahan dan tanpa mekanisme rayuan yang jelas daripada pihak kelab. Hak untuk didengar dan membela diri adalah prinsip keadilan asas yang tidak sepatutnya diketepikan,” tambah kenyataan itu.
UltraSel turut menegaskan bahawa mempertahankan hak mereka tidak bermaksud menolak undang-undang atau melawan institusi, sebaliknya menuntut keadilan berlandaskan proses yang adil dan telus.
Mereka juga menyeru semua pihak, termasuk kelab-kelab lawan yang mungkin mengeluarkan kenyataan susulan, agar bersikap matang dan tidak mewujudkan prejudis atau naratif yang menyamaratakan kesalahan kepada semua penyokong.
UltraSel menegaskan pembangunan bola sepak tempatan hanya boleh berlaku jika keadilan, hak dan rasa hormat dijaga untuk semua pihak, termasuk pemain, kelab dan penyokong. – DETIK MALAYSIA
Foto kredit – UltraSel Curva