BANDAR SERI BEGAWAN – Kuching City melakar kemenangan bergaya di laman lawan apabila menewaskan DPMM FC 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di sini, sekali gus berada dalam posisi selesa untuk mara ke separuh akhir.
Turun dengan misi jelas, skuad kendalian The Cats mempamerkan corak permainan agresif sejak wisel pertama, menekan pertahanan tuan rumah hingga menyukarkan gerakan DPMM.
Walaupun DPMM beberapa kali mengancam menerusi Syafiq Ahmad dan Jordan Murray, penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli berada pada prestasi terbaik apabila melakukan beberapa aksi penyelamatan penting bagi mengekang asakan tuan rumah.
Usaha Kuching akhirnya membuahkan hasil sejurus sebelum rehat apabila pemain import baharu, Jerome Etame, meledak gol pembukaan menerusi penyudah tenang untuk meletakkan pelawat di depan 1-0.
Bersambung babak kedua, DPMM tampil lebih garang dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 selepas kapten Kuching, James Okwuosa, tertampan bola ke gawang sendiri dalam insiden kelam-kabut di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, kebangkitan DPMM tidak bertahan lama apabila Kuching kembali mendahului pada minit ke-64 menerusi situasi sepakan penjuru yang menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Haimie Nyaring, gagal menumbuk keluar bola dengan kemas.
DPMM terus menekan mencari gol penyamaan, namun mereka dihukum pada minit ke-83 apabila Ramadhan Saifullah menyempurnakan serangan balas pantas untuk mengesahkan kemenangan 3-1 buat Kuching City.
Dengan kemenangan dua gol di tempat lawan, Kuching City kini memiliki kelebihan besar menjelang aksi timbal balik di Sarawak. – DERTIK MALAYSIA
Kredit foto – DPMM FC