SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pembaharuan menyeluruh berkaitan keselamatan dan perlindungan murid bagi tempoh 2027 hingga 2030.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keselamatan dan perlindungan murid perlu dijadikan agenda nasional susulan beberapa kejadian serius membabitkan pelajar sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, kewujudan garis panduan sahaja tidak mencukupi sekiranya pelaksanaannya tidak dipantau, diuji dan diperbaiki secara berterusan.
“MAPIM tidak melihat isu ini sebagai isu Kementerian Pendidikan semata-mata. Ia adalah isu nasional yang melibatkan masa depan generasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MAPIM mengemukakan 10 tuntutan termasuk mewujudkan National Safe School Framework 2027-2030, audit keselamatan sekolah secara berkala serta sistem amaran awal bagi murid berisiko.
MAPIM turut mencadangkan setiap sekolah mempunyai profil risiko sendiri berdasarkan faktor seperti saiz sekolah, jumlah murid, lokasi, asrama, aktiviti selepas waktu persekolahan dan sejarah insiden.
Selain itu, audit keselamatan sekurang-kurangnya sekali setahun dicadangkan dengan memberi tumpuan kepada kawalan keluar masuk, kawasan terpencil, CCTV, pencahayaan, keselamatan asrama, kelas tambahan, kawalan pelawat, rondaan serta prosedur kecemasan.
MAPIM berkata, sistem amaran awal murid berisiko pula perlu membabitkan guru kelas, guru disiplin, kaunselor, warden, pentadbir sekolah dan ibu bapa.
Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tingkah laku ketara, ancaman berulang, pergaduhan, buli, ugutan, membawa bahan berbahaya, pengasingan sosial, ponteng berulang serta konflik serius.
“Prinsipnya ialah Detect early, intervene early, protect early,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM turut mencadangkan satu saluran aduan murid yang selamat dan dipercayai dengan sekurang-kurangnya tiga laluan laporan termasuk guru atau kaunselor sekolah, saluran aduan sekolah yang dilindungi serta saluran luar sekolah bagi kes serius.
Pendidikan nilai dan akhlak juga disaran dijadikan komponen praktikal menerusi latihan pengurusan kemarahan, empati, penyelesaian konflik, komunikasi tanpa keganasan, tanggungjawab terhadap rakan serta keberanian melaporkan keganasan.
MAPIM turut mahu peranan kaunselor dan profesional sokongan diperkukuh menerusi saringan kesejahteraan murid, intervensi awal, sokongan kepada mangsa, pemulihan pelaku dan pemantauan selepas sesuatu kes ditutup.
Pada masa sama, MAPIM mencadangkan kerjasama antara KPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), NGO serta komuniti.
MAPIM turut menekankan keperluan menyemak semula keselamatan kelas tambahan dan aktiviti selepas waktu sekolah, termasuk memastikan rekod jelas mengenai siapa berada di sekolah, pada waktu bila, di bawah pengawasan siapa dan bagaimana murid keluar dari kawasan sekolah.
Berhubung penggunaan teknologi, MAPIM berkata CCTV perlu menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan dan bukan penyelesaian tunggal.
“Yang penting bukan berapa banyak kamera dipasang, tetapi sama ada sistem tersebut membantu mencegah, mengesan, memberi amaran dan menyokong siasatan apabila berlaku insiden,” katanya.
MAPIM turut mencadangkan KPM menerbitkan Laporan Tahunan Keselamatan dan Perlindungan Murid Malaysia yang merangkumi data agregat berkaitan buli, keganasan, salah laku jenayah, kecederaan serius, kematian, aduan, intervensi dan tindakan pencegahan.
MAPIM mencadangkan pelaksanaan pembaharuan itu dibuat secara berfasa bermula 2027 dengan audit nasional semua sekolah dan pemetaan risiko, diikuti pelaksanaan kerangka keselamatan secara berperingkat pada 2028.
Pada 2029, penilaian bebas terhadap keberkesanan sistem dicadangkan sebelum laporan nasional dan semakan dasar berdasarkan data dilaksanakan pada 2030.
“Sekolah bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu. Sekolah ialah tempat membentuk manusia.
“Keselamatan sekolah ialah amanah. Pendidikan nilai ialah benteng. Pengesanan awal ialah pencegahan. Perlindungan murid ialah tanggungjawab bersama,” katanya.
MAPIM turut menegaskan pihaknya bersedia bekerjasama dengan KPM dalam bidang pendidikan nilai dan pembentukan akhlak, penglibatan ibu bapa dan komuniti serta pendekatan masyarakat sivil. – DETIK MALAYSIA
