KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan langkah Republik Turkiye mengeluarkan waran tangkap terhadap 37 pemimpin tertinggi Israel sebagai tindakan berani demi menegakkan keadilan kepada rakyat Palestin.
Antara individu yang tersenarai ialah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan, Israel Katz dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, atas tuduhan melakukan genosid dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah Turkiye itu adalah mesej jelas bahawa dunia tidak lagi boleh membiarkan jenayah perang dilakukan tanpa hukuman, selain membuktikan tiada sesiapa terkecuali daripada undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ini adalah berani dan perlu. Ia menandakan pengakhiran terhadap budaya kebal undang-undang yang dinikmati pemimpin Israel selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut menyifatkan inisiatif Turkiye sebagai precedent moral dan perundangan yang perlu dicontohi negara lain yang memperjuangkan hak asasi manusia serta keadilan kepada rakyat Palestin.
Menurutnya, perjuangan rakyat Palestin selama puluhan tahun berdepan pembunuhan beramai-ramai, pengusiran dan hukuman kolektif, namun institusi antarabangsa masih gagal membawa pemimpin Israel ke muka pengadilan.
Katanya, Mapim menggesa komuniti antarabangsa, terutamanya negara Islam dan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk menyokong pelaksanaan waran tangkap tersebut agar ia tidak terhenti sekadar pengumuman.
“Tanpa keadilan, keganasan Israel akan terus berulang. Turkiye telah menunjukkan bahawa keberanian politik adalah permulaan kepada keadilan,” katanya. - DETIK MALAYSIA