KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius perkembangan terbaharu melibatkan penggantungan tiga lagi kakitangan berhubung dakwaan kartel dan salah guna geran di Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perkembangan itu bukan lagi isu pentadbiran biasa, sebaliknya menjadi petunjuk jelas berlakunya elemen “institutional capture” dalam organisasi berkenaan.
Menurut beliau, istilah itu merujuk kepada keadaan apabila sistem dan struktur dalaman sesebuah institusi dipengaruhi atau dikuasai kumpulan berkepentingan sehingga mekanisme semak dan imbang gagal berfungsi secara bebas.
“Dakwaan salah guna dana levi dan kewujudan kartel bukan perkara baharu. Ia telah dibangkitkan sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun lalu.
“Ketika itu siasatan dalaman dilaporkan telah ‘membersihkan’ pihak tertentu, namun pada masa sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan fail siasatan belum ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan mengapa tindakan pencegahan seperti penggantungan tidak dilaksanakan lebih awal sekiranya siasatan luar masih berjalan.
“Dalam mana-mana organisasi yang mengurus dana amanah awam, langkah tadbir urus standard ialah mengasingkan pegawai yang disiasat daripada sistem kelulusan atau operasi berkaitan bagi mengelakkan gangguan terhadap integriti siasatan.
“Kelewatan dua atau tiga tahun hanya menguatkan persepsi bahawa wujud budaya perlindungan dalaman atau lebih serius, penguasaan kartel ke atas struktur kelulusan geran,” tegasnya.
Jais berkata, dana HRD Corp merupakan levi mandatori berjumlah berbilion ringgit setahun yang dikutip bagi tujuan pembangunan latihan dan kemahiran pekerja negara.
“Ia bukan dana pelaburan spekulatif. Ia adalah wang amanah. Jika benar wujud manipulasi atau kartel dalam kelulusan geran, maka ini bukan sekadar salah laku pentadbiran, tetapi pengkhianatan terhadap amanah awam,” ujarnya.
Dalam masa sama, MCW menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan baharu HRD Corp atas keberanian memulakan tindakan penggantungan tersebut.
“Tindakan tegas selepas pelantikan Menteri dan CEO baharu menunjukkan kesediaan untuk memecahkan pola lama yang dilihat terlalu defensif dan lambat bertindak,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa pengurusan baharu melaksanakan audit forensik bebas dan menyeluruh terhadap kelulusan geran berprofil tinggi serta berisiko, menilai semula struktur kelulusan dan mekanisme kawalan dalaman, menyaring pegawai serta vendor yang berpotensi mempunyai konflik kepentingan, selain mendedahkan hasil siasatan secara telus kepada umum.
“Pembersihan separuh jalan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa sistem masih dikuasai kepentingan tertentu.
“Pembersihan menyeluruh pula akan menghantar mesej bahawa HRD Corp memilih integriti berbanding perlindungan dalaman,” katanya.
Tambah beliau, MCW akan terus memantau perkembangan tersebut dan mendesak akauntabiliti penuh.
“Apabila institusi ditawan oleh kepentingan sempit, integriti menjadi mangsa. Apabila kepimpinan berani memecah dominasi tersebut, reformasi sebenar bermula,” katanya. – DETIK MALAYSIA