KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan saman yang difailkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap Bloomberg L.P. berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan integriti dan kebenaran berasaskan fakta, MCW berpandangan setiap individu termasuk penjawat awam berprofil tinggi berhak mempertahankan reputasi serta maruah melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.
Menurut beliau, prinsip ‘rule of law’ mesti dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.
“Jika benar laporan tersebut mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah, maka tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.
“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, hak mengambil tindakan saman adalah hak peribadi Azam Baki sebagai individu dan tidak wajar ditafsir sebagai intimidasi atau penolakan terhadap kebebasan kewartawanan.
“Menggunakan saluran mahkamah adalah pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi,” ujarnya.
Dalam masa sama, MCW menegaskan integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan kerana tuduhan tidak berasaskan fakta serta bersifat sensasi boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat dan pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara.
Sehubungan itu, katanya, kebebasan media perlu disertai tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang.
“Media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip ini. Media harus lebih adil dan berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu berkenaan kini berada di hadapan mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses perundangan serta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
“Facts must prevail. Integrity must be defended,” tegasnya.
MCW menambah, pihaknya akan terus berdiri teguh mempertahankan integriti institusi dan memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang belum diuji di mahkamah. – DETIK MALAYSIA