KUALA LUMPUR – Susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.8 yang menggegarkan perairan Kota Kinabalu awal pagi tadi, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan pemantauan lapangan secara berterusan sebagai langkah berjaga-jaga.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rondaan turut dijalankan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selain pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan dan Kudat serta kawasan sekitar bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.
Menurut makluman Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.57 pagi, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat, Sabah.
Gegaran dilaporkan dirasai di seluruh Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Setakat ini, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan semua agensi berkaitan berada dalam keadaan bersiap siaga.
“Saya memohon penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.
“Dapatkan maklumat sahih daripada Portal Bencana atau media sosial rasmi MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kesejahteraan penduduk Sabah.
“Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Sabah sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah. Semoga Allah SWT memelihara kita semua, insya-Allah,” katanya. – DETIK MALAYSIA