BURIRAM – “Sang binatang sudah dijinakkan.” Itu gambaran paling tepat buat aksi juara dunia 2024, Jorge Martín yang semakin menemukan rentak sebenar bersama jentera Aprilia pada Ujian Pra-Musim di Litar Antarabangsa Chang, di sini.
Selepas tampil berhati-hati pada hari pertama, pelumba Sepanyol itu mula ‘naik gear’ pada Hari Kedua dengan catatan masa 1:29.167 saat untuk kedudukan kelapan keseluruhan. Lebih penting, Martin kini kembali menjinakkan had sebenar jentera RS-GP26.
Apa yang berubah? Otaknya.
Menurut Martin, dia bukan lagi sekadar menunggang motosikal, sebaliknya sudah mampu ‘membaca’ tindak balas jentera sebelum ia berlaku.
“Setiap pusingan, minda saya terima maklumat. Saya tahu bagaimana motosikal akan bertindak balas. Saya boleh jangka gelinciran sebelum ia berlaku. Kelajuan datang secara semula jadi sekarang,” katanya ketika sesi bersama media.
Musim lalu, isu utama Martin adalah karakter brek awal Aprilia yang tidak sesuai dengan gaya agresifnya. Namun, pendekatan mental baharu serta beberapa pelarasan ergonomik membantu mengubah keadaan.
“Motosikal ini tak suka ‘gigitan’ kuat pada tuil brek di awal. Saya fokus perkara itu semalam dan terus rasa boleh tolak lebih jauh. Inilah yang saya hilang musim lalu,” jelasnya.
Walaupun lama berehat akibat kecederaan, gaya semula jadi Martin kembali membuahkan hasil. Dia yakin mampu konsisten dalam kelompok tujuh atau lapan terbaik menjelang aksi sebenar.
Dalam masa sama, Martin dan rakan sepasukan menguji saluran udara baharu bagi mengurangkan haba ke kaki pelumba, satu kelebihan penting dalam cuaca panas Thailand.
Menariknya, Martin turut menyamai rekod peribadinya di Buriram, hanya 0.499 saat di belakang masa terpantas yang dicatatkan rakan senegara, Marco Bezzecchi.
Jika sebelum ini dia pernah ‘tumbang’ akibat cuaca panas melampau di India, kini situasinya berbeza. Martin mengakui menjalani latihan sauna untuk meningkatkan ketahanan haba.
“Sekarang cuaca panas bukan lagi isu besar. Aprilia juga sudah banyak meningkat, saya tak lagi rasa bahang dari motosikal,” katanya lagi.
Isyarat sudah jelas. Martinator hampir kembali ke tahap paling berbisa. Paddock MotoGP sudah mula terasa bahangnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BRIC