KUALA LUMPUR – Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dan LJP Kitchen Sdn. Bhd. (Kakatoo F&B Group) berlangsung dengan lancar di sini, semalam.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan dana pembiayaan pentadbiran program antirasuah serta kutipan sumbangan bagi pembelian ibu pejabat MCW di Kajang, Selangor.
“MCW mengajak semua ahli untuk melibatkan diri dan menyokong usaha ini supaya hasil daripada kerjasama dapat digandakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif LJP Kitchen, Joyce Chong bersama pengurusan Restoran Kakatoo bersetuju melaksanakan projek promosi khas menerusi ‘Kakatoo Wow Card’ bernilai RM100 dengan tawaran baucar RM500.
Menurutnya, pembelian kad itu bukan sahaja memberi pelbagai manfaat dan ganjaran kepada pelanggan, malah mereka juga berpeluang menikmati hidangan istimewa ala Baba Nyonya yang disediakan Chef Bob Adnin serta berpeluang memenangi hadiah kereta idaman.
MCW turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa dan ahli-ahli yang hadir memberikan sokongan pada majlis berkenaan. - DETIK MALAYSIA
