PUTRAJAYA – Siasatan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel sebenarnya telah selesai sejak tahun 2022.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, isu berkenaan kembali tular di aplikasi TikTok sejak kebelakangan ini walaupun siasatan mengenainya telah pun dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999.
“Hasil siasatan ketika itu mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan sebarang kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut SPRM, penjelasan mengenai hasil siasatan turut dinyatakan dalam akuan bersumpah yang dibuat oleh mantan Pengarah Siasatan BPR, Datuk Abdul Razak Idris pada tahun 2009.
Selain itu, WikiLeaks juga pernah menafikan menyiarkan senarai akaun bank milik Perdana Menteri tersebut sebagaimana didakwa dalam sidang Parlimen pada 2013.
Penafian itu dilaporkan menerusi akhbar Harian Metro pada 5 Oktober 2018 bertajuk “Dah 5 tahun baru Wikileak nafi”.
Sehubungan itu, SPRM mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan reputasi individu tertentu.
“SPRM kekal komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto - Gambar Hiasan