KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung garis panduan pemilikan aset termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pekeliling tersebut merupakan langkah positif yang mengimbangi hak penjawat awam untuk membuat pelaburan sah dengan keperluan menjaga integriti serta mengelakkan konflik kepentingan.
Menurutnya, penetapan had pemilikan dan keperluan mendapatkan kelulusan bagi pegangan yang melebihi had tertentu mampu meningkatkan akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
“Dalam era ekonomi digital, pengiktirafan terhadap aset digital yang didagangkan melalui platform berlesen menunjukkan kesediaan kerajaan menyesuaikan peraturan dengan perkembangan semasa.
“Namun, aspek pemantauan dan pengisytiharan aset perlu diperkukuh bagi memastikan sumber pendapatan adalah sah serta tidak melibatkan penyalahgunaan kedudukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, isu utama bukanlah jumlah aset yang dimiliki penjawat awam, sebaliknya cara aset tersebut diperoleh.
“Penjawat awam berhak menjadi kaya tetapi kekayaan itu mestilah diperoleh secara sah, telus dan berintegriti,” ujarnya.
Jelasnya, MCW percaya pekeliling tersebut mampu memperkukuh budaya integriti serta membantu membina perkhidmatan awam yang lebih berwibawa, profesional dan diyakini rakyat. – DETIK MALAYSIA