GUADALAJARA – Mexico mengesahkan status juara Kumpulan A dan menjadi antara pasukan terawal melangkah ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 di Stadium Akron awal pagi tadi.
Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan skuad kendalian Javier Aguirre mengumpul enam mata maksimum sekali gus mengesahkan kedudukan teratas kumpulan.
Korea Selatan hampir membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi Son Heung-min, namun percubaannya berjaya diselamatkan pertahanan Mexico sebelum situasi itu dibatalkan kerana ofsaid.
Mexico kemudian meningkatkan tekanan dan memperoleh gol kemenangan pada minit ke-50 hasil jaringan Luis Romo.
Kesilapan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu, yang gagal menangkap kemas bola hantaran tinggi memberi ruang kepada Romo menyempurnakan peluang ke gawang kosong.
Tersentak dengan gol tersebut, Korea Selatan menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun ketangkasan penjaga gol Mexico, Raúl Rangel, memastikan gawang pasukannya terus kebal.
Rangel muncul wira apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting termasuk menafikan dua percubaan berturut-turut Cho Gue-sung pada minit ke-87.
Kemenangan itu turut menyaksikan Mexico meneruskan rekod cemerlang ke atas Korea Selatan di pentas Piala Dunia dengan tiga kemenangan berturut-turut selepas turut menewaskan lawan sama pada edisi 1998 dan 2018.
Korea Selatan kini perlu menewaskan Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FMF