PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke sebuah zoo di Osaka, Jepun.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan dan komited menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.
“Kementerian sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan ini berlangsung bagi memastikan siasatan dapat dilengkapkan secara telus dan menyeluruh.
“NRES menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kementerian tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti berlaku salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan berkenaan.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi memelihara integriti institusi serta menjaga nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, SPRM dilaporkan menjalankan siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun. – DETIK MALAYSIA