KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan MyChild International melahirkan kebimbangan mendalam terhadap nasib kanak-kanak Palestin yang didakwa semakin tidak dilindungi susulan penyusutan operasi organisasi kemanusiaan dan pertubuhan masyarakat sivil di wilayah berkenaan.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amaran terkini yang dikeluarkan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan kanak-kanak Palestin kini berdepan tahap kerentanan yang semakin membimbangkan akibat konflik berpanjangan.
Menurut beliau, serangan ketenteraan, perpindahan paksa, kekurangan bekalan asas serta kemusnahan institusi perlindungan menyebabkan golongan kanak-kanak menjadi mangsa paling terkesan.
“Kanak-kanak Palestin kini berdepan pelbagai ancaman termasuk kematian, kecederaan, trauma psikologi, kelaparan, kehilangan akses pendidikan serta kekurangan perkhidmatan kesihatan yang kritikal.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila ruang kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat semakin mengecil sehingga menyukarkan organisasi bantuan menjalankan operasi perlindungan dan sokongan kepada kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Beliau berkata, sejak lebih tiga dekad lalu, pelbagai organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan pelanggaran hak, menyediakan bantuan guaman serta memberi sokongan psikososial kepada kanak-kanak dan keluarga Palestin.
Katanya, tindakan menyasarkan atau menyekat operasi organisasi berkenaan dilihat sebagai ancaman langsung terhadap sistem perlindungan kanak-kanak yang telah dibina sejak sekian lama.
“Melabelkan organisasi kemanusiaan sebagai pengganas tanpa bukti kukuh, selain mengenakan sekatan kewangan, perjalanan dan operasi, merupakan pencabulan terhadap prinsip kemanusiaan antarabangsa.
“Ia bukan sahaja melemahkan usaha bantuan, malah menghakis mekanisme perlindungan yang amat diperlukan oleh kanak-kanak di zon konflik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim dan MyChild International menggesa PBB serta negara-negara anggota memperkukuh mekanisme perlindungan antarabangsa bagi kanak-kanak Palestin selain memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
Mereka turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan, intimidasi dan sekatan ke atas pekerja kemanusiaan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang antarabangsa.
“Kanak-kanak Palestin telah terlalu lama menanggung penderitaan akibat peperangan, pendudukan dan penafian hak-hak asas mereka.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri ketika struktur perlindungan yang masih ada semakin terhakis dan masa depan generasi Palestin terus terancam,” katanya. – DETIK MALAYSIA