SUNGAI PETANI – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Malek Razak bersama isteri meluangkan masa menziarahi beberapa keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berdepan ujian kesihatan ketika lawatan kerja ke Kedah.
Lawatan kebajikan itu dimulakan di kediaman Sarjan Mohd Syahril Mohd Sobberi dari 6 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), yang isterinya, Farah Hanim Ismail sedang menjalani rawatan susulan akibat penyakit jantung berlubang, diabetes serta kesan strok ringan.
Beliau kemudian menziarahi Permata Islam Muhammad Bukhari Al Dhamiri, anak kepada Bdr Muhammad Bukhari Al Dhamiri dari Rejimen Ke-52 Artileri Diraja (52 RAD), yang memerlukan rawatan dan pemantauan berterusan susulan masalah perkembangan serta pendengaran.
Lawatan diteruskan ke kediaman Muhammad Hadif Mohd Afami, anak kepada Koperal Mohd Afami Mohd Rosdi dari Kem 6 Briged yang menghidap DiGeorge Syndrome serta penyakit jantung kongenital dan masih memerlukan rawatan susulan secara berkala.
Malek turut menziarahi Koperal Felix anak Franchis dari 4 Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini selepas mengalami kecederaan ketika menjalani Latihan Peningkatan Tempur (LPT) 4 RRD.
Menurut beliau, setiap kunjungan memberi peluang untuk menyantuni ahli keluarga, mendengar sendiri cabaran yang dihadapi selain menyampaikan sumbangan kebajikan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan warga ATM.
“Sesungguhnya, kekuatan sesebuah angkatan bukan sahaja diukur melalui keupayaan anggotanya, malah turut bergantung kepada kebajikan dan kesejahteraan keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada setiap anggota yang berkhidmat demi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mendoakan agar semua yang sedang diuji diberikan kesembuhan, ketabahan dan kekuatan serta berharap setiap keluarga sentiasa berada dalam rahmat, perlindungan dan kasih sayang Allah SWT. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Malek Razak
