KUALA NERUS – Seramai 84 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada keluarga B40 berbangsa India menerima sumbangan komputer riba menerusi inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).
Program yang diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT itu bertujuan memastikan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada mengikuti pembelajaran digital.
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain yang menyampaikan komputer riba kepada wakil penerima.
Mohd Izani berkata, kebajikan mahasiswa bukan sekadar agenda kebajikan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik bagi melahirkan graduan berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan negara.
“UMT amat menghargai komitmen MITRA dan Yayasan Didik Negara dalam membantu mahasiswa tahun pertama dan kedua daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Sumbangan komputer riba ini bukan sekadar menyediakan peranti pembelajaran, malah membuka peluang kepada pelajar mengakses ilmu, memperkukuh kompetensi digital dan meningkatkan prestasi akademik tanpa dibatasi kekangan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UMT akan terus memperluaskan kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, industri dan rakan strategik bagi memperbanyakkan inisiatif kebajikan serta bantuan pembelajaran supaya tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan.
Menurutnya, pemilikan komputer riba kini menjadi keperluan asas bagi membolehkan mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan penyelidikan, menyiapkan tugasan serta menguasai pelbagai aplikasi digital yang menjadi teras sistem pendidikan tinggi.
Sementara itu, seorang penerima, Dinesh a/l Ravindra Singh berkata, sumbangan tersebut memberi kelegaan kepada keluarganya yang sebelum ini tidak mampu menyediakan komputer riba baharu.
“Saya amat bersyukur kerana bantuan ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan lebih gigih dan membuktikan bahawa kekangan kewangan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMT, MITRA dan Yayasan Didik Negara atas keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa yang memerlukan.
Program berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan badan berkaitan dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti kepada golongan memerlukan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UMT
