KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Qabil Irfan menyifatkan kejayaan meraih podium sulung dalam saingan Moto4 European Cup 2026 sebagai ganjaran atas segala usaha keras selepas menamatkan Race 2 di tempat ketiga.
Keputusan itu turut menjadi pencapaian terbaik Qabil dalam kempen sulungnya di pentas Moto4 Eropah sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik sukan permotoran negara.
Dalam perlumbaan tersebut, Qabil mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya kekal bersama kelompok pendahulu sejak awal perlumbaan sebelum menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih podium pertama dalam Moto4 European Cup dengan menamatkan Race 2 di tempat ketiga.
“Perlumbaan hari ini sangat mencabar kerana persaingan begitu sengit dari awal hingga ke garisan penamat. Namun, saya tidak pernah berputus asa dan terus berusaha untuk kekal bersama kelompok hadapan.
“Podium ini sangat bermakna buat saya kerana ia adalah hasil kerja keras seluruh pasukan sepanjang hujung minggu ini,” katanya.
Qabil turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
“Terima kasih kepada SIC-GRYD Racing, SIC, ZK Racing, Terengganu Inc., RCB, keluarga saya dan seluruh penyokong di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan serta mendoakan kejayaan saya.
“Saya berharap keputusan ini menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras dan memburu keputusan yang lebih baik dalam perlumbaan akan datang,” ujarnya.
Podium sulung itu dijangka menyuntik keyakinan lebih tinggi kepada Qabil untuk terus bersaing di kelompok hadapan dalam baki saingan Moto4 European Cup musim 2026.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan perkembangan positif sukan permotoran negara apabila semakin ramai pelumba muda Malaysia mampu memberi saingan di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
