SHAH ALAM – Gergasi pakaian sukan antarabangsa, Adidas kembali menjalinkan kerjasama dengan Selangor FC apabila diumumkan sebagai penaja jersi rasmi kelab itu bagi menghadapi saingan musim 2026/27.
Pengumuman yang dibuat hari ini menyaksikan kembalinya kerjasama antara kedua-dua pihak selepas pernah mencipta pelbagai kejayaan bersama suatu ketika dahulu.
Kerjasama yang diperbaharui itu dilihat sebagai simbol kepada legasi kecemerlangan, cita-cita tinggi serta semangat bola sepak yang sekian lama dikongsi oleh Adidas dan Selangor FC.
Menurut kenyataan Selangor FC, kerjasama berkenaan turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memberi inspirasi kepada generasi baharu pemain serta penyokong menerusi sukan bola sepak.
“Hubungan ini dibina atas asas kebanggaan, prestasi dan kemajuan, selain mengukuhkan lagi ikatan antara kelab, penyokong serta komuniti bola sepak,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama terdahulu antara Adidas dan Selangor FC menyaksikan kelab Gergasi Merah itu mencipta pelbagai detik gemilang di dalam dan luar padang, sekali gus mengukuhkan identiti #MentalitiJuara yang sinonim dengan pasukan berkenaan.
Malah, jalinan itu turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan pemain, penyokong dan komuniti tempatan menerusi minat yang sama terhadap bola sepak.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama baharu itu, Adidas dan Selangor FC akan memperkenalkan jersi laman sendiri serta jersi tempat lawan bagi musim 2026/27 pada 20 Ogos depan.
Rekaan baharu tersebut dijangka mengekalkan warisan bola sepak Selangor sambil menampilkan identiti moden yang melambangkan hala tuju baharu kelab.
Kembalinya Adidas bukan sekadar penajaan jersi, sebaliknya menghidupkan semula antara kerjasama paling ikonik dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Dengan penekanan terhadap inovasi, prestasi dan identiti kelab, kedua-dua pihak berharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan Selangor FC sebagai antara kelab paling disegani di rantau ini menjelang musim baharu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC
