KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menghentikan perang persepsi dan mengutamakan kempen berasaskan fakta, integriti serta rekod prestasi.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perbezaan pendapat dan kritikan merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang.
Menurutnya, kempen pilihan raya seharusnya memberi tumpuan kepada dasar, rekod pencapaian dan integriti calon, bukannya memainkan sentimen ketakutan atau melancarkan serangan peribadi.
“Semua parti perlu menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil. Sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam perlu dielakkan daripada menimbulkan persepsi bahawa ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua dakwaan dan kritikan politik juga perlu dibuat secara bertanggungjawab serta disokong dengan bukti agar tidak mengelirukan rakyat.
Jelasnya, pengundi di Johor disaran menilai setiap calon berdasarkan integriti, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan serta komitmen dalam membanteras salah guna kuasa.
“PRN Johor seharusnya menjadi medan pertandingan idea dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif.
“Politik boleh berbeza warna tetapi integriti mesti menjadi prinsip bersama,” katanya. – DETIK MALAYSIA
